villakamimicasamawar

Friday, June 3, 2011

cikguKu...berukKu???

Kisah bermula di sebuah kampung...tinggal seorang budak lelaki bernama Hassan. Dia tinggal di sebuah rumah kecil bersama dengan seorang nenek tua yang buta matanya. Hassan tidak mempunyai kawan lain, melainkan seekor beruk yang telah dibelanya semenjak dari beruk itu kecil lagi. Beruk itu sangat akrab dan manja dengan Hassan. Seandainya ada sesiapa yang cuba mengganggu Hassan pasti teruk orang itu dikerjakan oleh beruknya. Kehidupan Hassan dan neneknya sangat susah. Bagi menyara kehidupan mereka, Hassan mengambil upah memetik kelapa dengan bantuan beruk kesayangannya itu.

Setiap hari sebelum ke sekolah Hassan pasti akan membereskan dahulu kerja-kerja di rumah kerana dia tidak mahu menyusahkan neneknya yang buta itu. Oleh sebab itu Hassan selalu terlewat ke sekolah. Apabila sampai ke sekolah Hassan pasti akan dimarahi oleh cikgu Shafie tanpa usul periksa. Namun begitu Hassan tidak pernah menceritakan hal sebenar kepada gurunya. Biarlah dia dimarahi asalkan neneknya tidak menghadapi kesulitan sepanjang dia berada di sekolah.

Satu hari Hassan tidak ke sekolah seperti biasa, ini menyebabkan cikgu Shafie berasa hairan lalu beliau berhasrat untuk menyiasat apa yang sebenarnya berlaku kepada Hassan. Setelah bertanyakan kedudukan rumah Hassan kepada ketua kampung cikgu Shafie pun sampailah ke rumah Hassan. Rumah Hassan terletak agak jauh dihujung kampung itu.

Sampai sahaja ke halaman rumah Hassan, cikgu Shafie memberi salam. Salam beliau dijawab oleh nenek Hassan. Cikgu Shafie dijemput masuk ke rumah oleh nenek tua itu. Setelah memperkenalkan dirinya, cikgu Shafie menyatakan tujuannya datang ke situ.

"Maaflah cikgu, Hassan tidak ada di rumah. Dia telah keluar petik kelapa bersama dengan beruknya, kejap lagi baliklah dia."
"Hassan tidak ke sekolah hari ini kerana nenek demam jadi dia tidak sampai hati nak tinggalkan nenek seorang diri lama-lama di rumah," sambung nenek tua itu lagi.
"Nenek, kenapa Hassan selalu lambat sampai ke sekolah?" tanya cikgu Shafie.
"Cikgu, Hassan ni seorang cucu yang sangat baik...dia tak akan ke sekolah selagi dia belum siap masak dan sediakan semua keperluan nenek..." jelas nenek tua itu kepada cikgu Shafie.

Cikgu Shafie rasa sungguh bersalah apabila mengetahui hal yang sebenar tentang kelewatan Hassan. Dia sangat menyesal kerana tidak pernah bertanya sebaliknya hanya berterus-terusan memarahi Hassan.

Tiba-tiba...
"Nek, Hassan dah balik."

Hassan masuk ke dalam rumah, dia terperanjat kerana cikgu Shafie ada di situ. Lalu Hassan lari keluar rumah. Cikgu Shafie mengejar Hassan, beruk Hassan terus menerkam cikgu Shafie kerana meyangkakan Hassan terancam. Beruk itu menggigit-gigit cikgu Shafie. Cikgu Shafie menjerit kesakitan, beruk itu mencengkam kuat leher cikgu Shafie...Hassan memandang ke arah cikgu Shafie dengan rasa marah namun begitu timbul rasa kasihan pula. Hassan tahu jika dia tidak melakukan sesuatu cikgu Shafie pasti akan mati. Hassan serba-salah, dia perlu memilih antara cikgunya atau beruknya...

Hassan mencapai kayu lalu memukul kepala beruknya. Beruk itu pun melepaskan gigitannya lalu jatuh terkulai ke tanah. Darah mengalir laju keluar dari kepala beruk kesayangannya, Hassan memangku beruknya dengan rasa sedih. Beruk itu memandang wajah Hassan dengan pandangan matanya yang sayu seolah-olah ingin memberitahu Hassan bahawa ajalnya telah tiba dan ia tidak lagi akan menemani Hassan selepas ini. Tidak lama kemudian beruk itu memejamkan matanya...Hassan meraung sekuat hatinya.

Cikgu Shafie melihat kejadian tersebut dengan rasa terharu. Beliau tidak sangka Hassan sanggup mengorbankan beruk kesayangannya demi menyelamatkan nyawanya.

No comments:

Post a Comment