villakamimicasamawar

Showing posts with label Moral. Show all posts
Showing posts with label Moral. Show all posts

Friday, June 3, 2011

cikguKu...berukKu???

Kisah bermula di sebuah kampung...tinggal seorang budak lelaki bernama Hassan. Dia tinggal di sebuah rumah kecil bersama dengan seorang nenek tua yang buta matanya. Hassan tidak mempunyai kawan lain, melainkan seekor beruk yang telah dibelanya semenjak dari beruk itu kecil lagi. Beruk itu sangat akrab dan manja dengan Hassan. Seandainya ada sesiapa yang cuba mengganggu Hassan pasti teruk orang itu dikerjakan oleh beruknya. Kehidupan Hassan dan neneknya sangat susah. Bagi menyara kehidupan mereka, Hassan mengambil upah memetik kelapa dengan bantuan beruk kesayangannya itu.

Setiap hari sebelum ke sekolah Hassan pasti akan membereskan dahulu kerja-kerja di rumah kerana dia tidak mahu menyusahkan neneknya yang buta itu. Oleh sebab itu Hassan selalu terlewat ke sekolah. Apabila sampai ke sekolah Hassan pasti akan dimarahi oleh cikgu Shafie tanpa usul periksa. Namun begitu Hassan tidak pernah menceritakan hal sebenar kepada gurunya. Biarlah dia dimarahi asalkan neneknya tidak menghadapi kesulitan sepanjang dia berada di sekolah.

Satu hari Hassan tidak ke sekolah seperti biasa, ini menyebabkan cikgu Shafie berasa hairan lalu beliau berhasrat untuk menyiasat apa yang sebenarnya berlaku kepada Hassan. Setelah bertanyakan kedudukan rumah Hassan kepada ketua kampung cikgu Shafie pun sampailah ke rumah Hassan. Rumah Hassan terletak agak jauh dihujung kampung itu.

Sampai sahaja ke halaman rumah Hassan, cikgu Shafie memberi salam. Salam beliau dijawab oleh nenek Hassan. Cikgu Shafie dijemput masuk ke rumah oleh nenek tua itu. Setelah memperkenalkan dirinya, cikgu Shafie menyatakan tujuannya datang ke situ.

"Maaflah cikgu, Hassan tidak ada di rumah. Dia telah keluar petik kelapa bersama dengan beruknya, kejap lagi baliklah dia."
"Hassan tidak ke sekolah hari ini kerana nenek demam jadi dia tidak sampai hati nak tinggalkan nenek seorang diri lama-lama di rumah," sambung nenek tua itu lagi.
"Nenek, kenapa Hassan selalu lambat sampai ke sekolah?" tanya cikgu Shafie.
"Cikgu, Hassan ni seorang cucu yang sangat baik...dia tak akan ke sekolah selagi dia belum siap masak dan sediakan semua keperluan nenek..." jelas nenek tua itu kepada cikgu Shafie.

Cikgu Shafie rasa sungguh bersalah apabila mengetahui hal yang sebenar tentang kelewatan Hassan. Dia sangat menyesal kerana tidak pernah bertanya sebaliknya hanya berterus-terusan memarahi Hassan.

Tiba-tiba...
"Nek, Hassan dah balik."

Hassan masuk ke dalam rumah, dia terperanjat kerana cikgu Shafie ada di situ. Lalu Hassan lari keluar rumah. Cikgu Shafie mengejar Hassan, beruk Hassan terus menerkam cikgu Shafie kerana meyangkakan Hassan terancam. Beruk itu menggigit-gigit cikgu Shafie. Cikgu Shafie menjerit kesakitan, beruk itu mencengkam kuat leher cikgu Shafie...Hassan memandang ke arah cikgu Shafie dengan rasa marah namun begitu timbul rasa kasihan pula. Hassan tahu jika dia tidak melakukan sesuatu cikgu Shafie pasti akan mati. Hassan serba-salah, dia perlu memilih antara cikgunya atau beruknya...

Hassan mencapai kayu lalu memukul kepala beruknya. Beruk itu pun melepaskan gigitannya lalu jatuh terkulai ke tanah. Darah mengalir laju keluar dari kepala beruk kesayangannya, Hassan memangku beruknya dengan rasa sedih. Beruk itu memandang wajah Hassan dengan pandangan matanya yang sayu seolah-olah ingin memberitahu Hassan bahawa ajalnya telah tiba dan ia tidak lagi akan menemani Hassan selepas ini. Tidak lama kemudian beruk itu memejamkan matanya...Hassan meraung sekuat hatinya.

Cikgu Shafie melihat kejadian tersebut dengan rasa terharu. Beliau tidak sangka Hassan sanggup mengorbankan beruk kesayangannya demi menyelamatkan nyawanya.

Wednesday, September 1, 2010

Kisah Sepohon Pokok

Di dalam sebuah hutan, terdapat sepohon pokok yang tegak berdiri dengan megahnya. Pokok tersebut amat besar dan mengatasi semua pokok-pokok yang terdapat di hutan tersebut. Akarnya amat tegap, dahannya bercabang-cabang dengan dedaunnya yang merimbun hijau. Pohonnya yang merendang itu mampu menjadi tempat tempat berteduh yang nyaman kerana bayangannya meliputi seluruh kawasan tersebut.


Akan tetapi...pokok besar itu masih tidak gembira.



"Kitalah sumber kekuatan pokok ini," tiba-tiba akar bersuara memecah kesunyian.

"Mana mungkin pokok ini dapat teguh berdiri andai kita tidak menyedut air dan zat-zat dari tanah," kata akar lagi.



Tiba-tiba...


"Aku yang membolehkan pokok ini berdiri tegak, wahai akar!" Aku batang pokok yang dapat menampung berat dahan, dedaun dan buah-buahnya. Lihatlah betapa besar dan tegapnya aku," kata batang dengan penuh keangkuhan.



Namun, dedaun yang berada di bahagian atas tidak berpuas hati dengan kenyataan akar dan batang itu lalu mereka pun bersuara,


"Benar katamu wahai batang tetapi pernahkah kamu terfikir bagaimana pula kamu akan berdiri teguh dan besar sedemikian rupa andai bukan kami yang menyerap sinaran matahari buat kamu semua setiap hari?"



"Bagaimana pula dengan kami?" Tiba-tiba salah satu dahan pula mencelah.

"Kamilah yang menjadi tempat daun-daun agar dapat tumbuh merimbun lalu mencantikkan lagi pokok besar ini," kata dahan lagi.



Pertelingkahan antara akar, batang, daun dan dahan menyebabkan pokok sangat marah jadi ia terus berdiam diri menahan perasaanya.



Suatu hari seekor burung kecil telah hinggap di atas pokok besar itu.

"Wah, alangkah besar dan indahnya pokok ini!"Kata burung kecil itu. "Oh, pokok besar yang cantik aku amat gembira berada bersamamu," burung kecil berlagu riang. "Mmm...sememangnya kecantikkanmu tiada tandingan dengan pokok-pokok lain di hutan ini,"kata burung kecil lagi.



Apabila mendengar kata-kata burung kecil itu, kesemua bahagian pokok menceritakan tentang pertelingkahan mereka.



"Wahai, burung kecil...siapakah antara kami semua yang paling penting? Tanya akar, batang, daun dan dahan.



"Tentulah kamu semua," jawab burung kecil. "Kamu sangat cantik kerana kamu semua adalah satu POKOK."



Moral >> setiap orang punya tugas dan tanggungjawab tersendiri dalam membina sesebuah institusi agar menjadi teguh dan kuat jadi jangan pertikaikannya. Pertelingkahan sesama kita menyebabkan musuh akan mudah mengambil kesempatan untuk melemahkan kita.