villakamimicasamawar

Saturday, May 14, 2011

Selamat Hari Guru

Pada 16 Mei 1956 Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan daripada Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of Education Commitee) sebagai dasar pelajaran negara kita. Bermula dari tarikh tersebut, 16 Mei telah dipilih sebagai sambutan Hari Guru di Tanah Melayu (Malaysia).


Sambutan Hari Guru yang berlangsung setiap tahun adalah bertujuan untuk menghargai jasa dan peranan semua warga pendidik yang bergelar guru. Guru bukan sahaja bertanggungjawab untuk mengajar bahkan mendidik anak bangsa yang dahagakan ilmu pengetahuan. Oleh sebab itu hanya insan yang ikhlas,tabah,jujur,kreatif,sabar dan penyayang sahaja yang layak bergelar guru.


Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara telah dipilih sebagai tema pada tahun 2011. Tema ini jelas memberi gambaran bahawa tugas guru pada masa kini kian mencabar kerana sebagai penjana transformasi (perubahan) dalam pendidikan setiap insan yang bernama guru telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan setiap perancangan pendidikan yang dibuat oleh kerajaan agar dapat melahirkan modal insan yang diperlukan oleh negara.


Justeru, pelaksanaan KSSR dan MBMMBI haruslah dipatuhi sebagaimana yang digariskan agar transformasi dalam pendidikan ini dapat dilihat hasilnya sebagaimana yang dikehendaki.


Selain dari itu,para pendidik juga seharusnya dapat menguasai ilmu Teknologi Maklumat agar dapat membawa perubahan dalam pendidikan. Misalnya dalam KSSR,subjek Sains yang kini dikenali sebagai Dunia Sains & Teknologi (DST) di samping modul TMK (Teknologi Maklumat & Komunikasi) yang mana memberi pengetahuan asas TMK murid agar dapat diaplikasi dalam subjek DST tersebut.


Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta,

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara,

Jika hari ini seorang Ulama yang mulia,

Jika hari ini seorang Peguam menang bicara,

Jika hari ini seorang Penulis terkemuka,

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa,

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya,

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota,

Di bangunan tua sekolah di Hulu Terengganu,

Dia adalah guru mewakili seribu buku,

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa,

Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu,guruku

Budi yang diapungkan di dulangi ilmu

Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat.

~Usman Awang 1979


SELAMAT HARI GURU kepada semua warga guru.

No comments:

Post a Comment