villakamimicasamawar

Monday, October 31, 2016

Asyura Kedah

Assalamualaikum wbt...
Holla...

Jom masak asyura Kedah pulak. Family cikNor Utara-Selatan jadi untuk berlaku adil kita buatlah dua-dua versi.



ASYURA KEDAH

Bahan-bahan:
2 cawan beras (rendam semalaman, toskan dan kisar)
1 cawan tepung beras (cap bunga teratai)
2 cawan gula merah - masak dengan 2 cawan air kemudian tapis
6 cawan air
5 biji pisang awak - potong kecil
1/2 biji labu - potong dadu
1/2 kg santan pekat
1 biji keledek oren - potong dadu & rebus empuk
1 biji keledek putih - potong dadu & rebus empuk
1 tin jagung
1 1/2 cawan kacang hijau - rendam kemudian rebus empuk
1 cawan kacang merah - rendam kemudian rebus empuk
3 helai daun pandan
sedikit garam
*bahan campuran atas pilihan masing-masing.  cikNor letak yang cikNor suka jer...hehehee

Cara-cara:

  • Satukan beras kisar, tepung beras, air dan santan.  Kacau bahan tersebut sebati.
  • Kemudian masak atas api. Masukkan gula merah dan daun pandan. Campuran tersebut hendaklah sentiasa dikacau.
  • Masukkan garam dan teruskan kacau hingga meletup-letup.  Kemudian masukkan ubi dan semua kekacang tadi.  Terus kacau adunan tersebut hingga benar-benar masak.
  • Terus kacau hingga adunan menjadi kental anggaran 1 1/2 - 2 jam.
  • Tuangkan asyura dalam bekas dan sejukkan.
*cikNor suka makan yang panas-panas...nyumm...nyummmm


First time buat, jadi masa tengah masak tu sambil ber-whatsApp dengan mak sedara cikNor kat Kedah tanya macam mana nak tau asyura dah masak...hahahaa, memasak secara PJJ.
Katanya kalau dah macam nampak pekat dan bila dikacau tak lekat di kuali tu tandanya da masak...


Siap masak cikNor sejukkan dalam bekas-bekas tu, macam biasa hantar kat jiran-jiran dan kawan-kawan terdekat.  Bekas kaler merah tu cikNor bawa ke tempat kerja, belanja kawan-kawan sekerja. Untuk diri sendiri cikNor amik 1 bekas kecik jer...sebab bukan nak makan banyak sangat pun just lepaskan rasa teringin jer.  Yang pasti masa baru angkat panas-panas tu cikNor da makan (^_^)

P/S - pastikan keadaan fizikal tangan kuat nak buat asyura sebab mengacaunya ala-ala macam nak buat dodol...hehehee
SELAMAT MENCUBA

Asyura Johor

Assalamualaikum wbt...
Holla... (^_^)

cikNor mau share resepi Asyura...suka tak??? heheee...Okay tak nak melalut panjang sebab bukan selalu cikNor dapat update blog, tak mau cakap sibuk / tak de masa / tak sempat atau yang sewaktu dengannya...




ASYURA JOHOR

Bahan A:
4 cawan beras - basuh dan toskan
1 kg daging - rebus seketika dan buang buih-buih hitam di permukaan air rebusan (untuk hilangkan bau hanyir lembu)
2 batang lobak merah - potong dadu
2 biji kentang - potong dadu

*beras yang sudah siap dicuci dan tos tu cikNor masukkan dalam slow cooker dan masak hingga kembang. Kalau tak ada slow cooker boleh jer masak dlm rice cooker cumanya kena jaga la sikit sebab takut melimpah.

*apabila beras tersebut sudah kembang pindahkan ke dalam periuk yang lebih besar dan masukkan daging yang telah direbus tadi bersama air rebusannya.

*ataupun boleh terus tanak nasi dalam periuk besar.

Bahan B:
20 biji bawang merah
10 biji bawang putih
2 inci halia
1 sdb lada sulah
(satukan semua bahan tersebut kemudian kisar halus)
2 batang lobak merah - kisar halus
3 batang celery - kisar halus
2 batang leak - kisar halus

Bahan C:
4 sdb rempah sup
3 sdb rempah kurma
3 sdb rempah briyani
1 cawan air panas
(satukan semua bahan, biar seketika supaya rempah kembang)

Bahan D:
1 liter santan (cikNor guna santan kotak)
3 biji bawang besar - hiris
Sedikit garam
1 sdt perencah secukup rasa Maggi
Rempah tumis secukupnya (kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang, buah pelaga)
Minyak untuk menumis

Bahan tabur:
Bawang goreng
Daun sup
Daun bawang
Telur dadar dihiris tipis

Cara-cara:

  • Nasi dan daging dimasak dengan api perlahan.  Masukkan lobak merah dan kentang yang telah didadu.
  • Panaskan minyak di dalam kuali kemudian masukkan rempah tumis dan bawang besar. Tumiskan bahan tersebut hingga bangkit baunya.
  • Kemudian masukkan Bahan B, masakkan hingga pecah minyak seterusnya masukkan Bahan C.  Masak kesemua bahan tersebut hingga rempah tersebut garing.
  • Apabila telah garing tuangkan ke dalam periuk berisi nasi tadi, kacau supaya rempah tersebut sebati dengan nasi.
  • Masukkan santan dan perisakan dengan garam dan rempah secukup rasa Maggi. Masak hingga mendidih.
  • Apabila kentang, lobak merah dan daging telah empuk bolehlah dimatikan apinya.
  • Hidangkan dengan taburan bawang goreng, daun sup, daun bawang dan telur dadar.
Bahan tabur - daun sup, daun bawang, telur dadar & bawang goreng.


Dapat 1 periuk 1 kuali, sebab malas nak cari periuk besar . Lagi pun 2 bekas tu non-stick jadi tak de la risau hangit atau berkerak kat bawah.  Heheee...nak mudah jer kannn...


Yang dalam bekas-bekas tu cikNor hantar kat jiran-jiran dan kawan-kawan terdekat. Alhamdulillah, dorang kata sedap dan first time makan sebab biasanya asyura negeri Pahang macam lain, manis dan berempah.  Insyaallah...nanti cikNor share resepi asyura Pahang pulak.


P/S- ini resepi original cikNor jadi cikNor sendiri tak pasti kalau Johorian yang lain masak asyura bagaimana...#jangankecamsaya #sharingiscaring

SELAMAT MENCUBA 
DAN
SELAMAT MENJAMU SELERA.


Roti Kerca

Assalamualaikum wbt...
Holla...


ROTI KERCA

Bahan Roti:
1/2 kg tepung gandum
3 biji telur
1/4 sdt garam
4 cawan air
sedikit serbuk kunyit / pewarna kuning (optional)
minyak untuk sapu pada kuali

Cara-cara:
  • Satukan semua bahan kemudian blend halus supaya tiada ketulan.
  • Panaskan kuali non-stick, sapu sedikit minyak, kemudian sendukkan adunan tepung dalam kuali, lenggangkan supaya nipis sekata.
  • Biarkan seketika hingga masak (tak perlu terbalikkan) kemudian angkat dan gulungkan macam kuih ketayap.


KUAH

Bahan-bahan:
400g daging / ayam cincang
1 kotak kecil santan
3 cawan air
30g rempah kari daging
4 cm kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
4 cm halia - kisar
4 ulas bawang putih - kisar
10 ulas bawang merah - kisar
200g tomato puree
garam dan gula secukupnya
minyak untuk menumis

Cara-cara:
  • Panaskan minyak, tumis kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga hingga wangi kemudian masukkan bahan yang dikisar masak hingga garing.
  • Kemudian masukkan rempah kari dan letak sedikit air, masak rempah hingga berbau harum dan pecah minyak.
  • Masukkan daging / ayam cincang dan tomato puree masak hingga terbit minyak kemudian masukkan santan, air, garam dan gula secukup rasa (air boleh dimasukkan mengikut kepekatan yang diingini).
  • Masak hingga mendidih dan pekat kemudian bolehlah dimatikan api.

Hiasan / Tabur:
Daun sup - hiris halus
Bawang goreng

Cara Menghidang Roti Kerca:
  • Roti yang digulung tadi dipotong serong.
  • Letak roti yang telah dipotong kemudian siramkan dengan kuah.
  • Taburkan daun sup dan bawang goreng.

Tips bawang goreng rangup:
*gunakan bawang merah ros (kalau di pasar raya ada banyak jenis bawang merah jadi pilih yang tulis bawang merah ros, biasanya mahal sikit daripada bawang merah lain).
- bawang merah dihiris tipis kemudian gaul dengan sedikit tepung jagung.
- panaskan minyak goreng hingga kuning, angkat toskan.
- sejukkan sebelum simpan dalam bekas kedap udara.



 Ini roti kerca kuah banjir...heheee...


SELAMAT MENCUBA (^_^)

Thursday, February 18, 2016

Hummingbird Cake

Assalamualaikum wbt...
Holla, friends!!!
Gembira macam nak lompat bintang jer...sebabnya berjaya jugak buat kek hummingbird ni...hahaa...
(orang lain dah lama buat sebenarnya...
mesti dorang gelak guling-guling sebab cikNor ketinggalan keretapi...hehee...)
Tak kira lah Kiah kan...janji Mak Jemah happy!
cikNor tengok kat blog mat salih memang rata-rata semua post hummigbird cake ni...bila baca cara nak buat macam senang cuma bahan jer yang agak kurang menyenangkan 
poket en Shuben...kihkihh..
Mewah sangat bahan-bahannya...padan ler dengan rasanya yang meletop-letop di dalam mulut...sedap sangat rupanya.

Kek hummingbird ni rasanya akan-akan kek carrot tapi bagi cikNor sedap hummingbird lagi, pada cikNor laa...sebab ia gabungan pisang, nanas dan walnut bersatu dengan rempah. macam agak klasik kan...memang klasik pun sebab ia wujud pada pertengahan abad ke-20 lagi, kiranya macam menu tradisional la jugak (mentang-mentanglah degree sejarah sampai asal-usul kek pun nak cerita...hahahaa...)

Okay, mari kita tengok bahan-bahannya...cerita banyak pun tak guna kan...
(walaupun reffer kat blog mat salih tapi cikNor ada ubah suai sikit bahan, kuantiti bahan dan cara mengadunnya sebab biasanya dorang memang letak gula yang sangat banyak...jadi cikNor kurangkan sikit ikut lidah Melayu Mak Jemah...hihiii...)

tapi....kalau nak tengok resepi asal boleh klik kat link ni TORI AVEY

HUMMINGBIRD CAKE

(A)
3 cawan tepung naik sendiri
1 sudu teh baking soda
1 sudu teh rempah all spice (cikNor guna brand Nur)
1/4 sudu teh garam halus
- satukan semua bahan ni dalam 1 bekas.

(B)
1 1/2 cawan minyak jagung (cikNor guna brand Daisy)
3 biji telur (cikNor guna saiz B)
2 cawan gula (cikNor tak guna accurate 2 cawan...agak-agak macam 1 1/2 cawan jer...)
1 sudu teh esen vanilla
- telur, gula pukul sampai kembang kemudian masukkan vanilla dan minyak pukul sebati.

(C)
1 tin nanas, toskan air kemudian potong dadu (2 cawan)
2 cawan pisang (cikNor guna pisang emas 1 cawan pisang berangan 1 cawan sebabnya pisang berangan tu dapat 1 cawan jer jadi top up ler dengan pisang emas dibawa belayar pulak...hehee...)
1 cawan kacang pecan - bakar dan cincang kasar (oleh sebab kat Jerantut tak ada kacang pecan jadi kite tukar dengan walnut, sedap jugak maaa...)

Cara-cara:

  • Panaskan oven.
  • Gris 3 loyang 8 in.
  • Satukan bahan A, gaul sebati.
  • Setelah bahan B yang sebati elok masukkan bahan A sedikit demi sedikit sambil digaul rata.
  • Masukkan bahan C kacau sebati.
  • Sediakan 3 loyang saiz 8 in, bahagikan adunan sama banyak kemudian bakar selama 40 minit dengan suhu 180c.
  • Sejukkan sebelum letak frosting cheese.

Cheese Frosting:
3/4 unsalted butter
250g cream cheese (cikNor guna Philadelphia)
1 1/2cawan gula icing
3 sudu besar jus lemon
1/4 sudu teh garam halus
1/4 cawan UHT whip cream - pukul kembang

Cara-cara:

  • Cream cheese, butter, gula icing dan garam dipukul kembang.
  • Masukkan jus lemon, pukul hingga sebati.
  • Masukkan UHT whip cream yang telah dipukul kembang sebatikan dengan adunan cream cheese.
- Sapukan setiap lapis kek dengan cheese frosting.
- Bakinya bolehlah diguna untuk topping kek, kemudian hias ikut kreativiti.

Note - ada orang cakap baker yang  letak jus lemon dalam cheese menipu customer katanya, sebab nak bagi rasa cheese masam (dia kata rasa cheese tak sepatutnya masam), salah fakta tu sebenarnya jus lemon tu untuk seimbangkan rasa cheese supaya bila makan tak rasa muak bukannya nak memasamkan cheese. cikNor sendiri kalau buat frosting cheese untuk red velvet, tiramisu dan hummingbird memang letak jus lemon tujuannya untuk hilangkan rasa muak cheese sebab tu ramai customers cikNor puas hati dengan rasa dan akan repeat order.)

Seeloknya bakar kek dalam 3 loyang yang sama saiz sebab kek ini secara tradisinya mempunyai 2 atau 3 lapis jadi kalau kita nak bahagikan kek kepada 2 atau 3 bahagian takut hancur berderai sebab kandungan kacang dan nanas banyak.

Inilah watak-watak utama yang menjadikan kek ini sangat-sangat marvellous.

Tak sabar nak makan, patutnya simpan dulu dalam peti sejuk supaya cream cheese tu set jadi bila potong barulah kemas tak sememeh...tak tahan bau wangi all spice tu...huhuuu...
Adunan yang cikNor bagi tu menghasilkan kek seberat 2.3kg.

Sepatutnya nampak layer cream cheese pada setiap lapisan kek tapi nak kurangkan cheese la konon jadi cikNor layerkan nipis jer cheese tu...sebab bahagian luar dah salut cheese...hahahaa...tektik diet ke laut tu namanya...

Apa-apa pun baik kamu...kamu...kamu, dan kamu try...hurmm...baru tau rasanya :-)